Jumaat, Jun 13, 2008

Trip 2 Sitiawan 9-10 Jun 08

Salam semua. Posting pertama banyak dibantu oleh Cik Ida almaklum. Pulang ke rumah embun sudah mula menitik, insan kota sudahpun mengulit mimpi indah. Saya pula, aduhai.. baru mahu mencari bantal, melelapkan mata. Kadang-kadang terus terlena dan kekadang pula sampai ke subuh  tidak dapat tidur. Rutin harian sudah jauh berbeza. Bagaimana mungkin untuk bercerita?
Ada ketikanya terfikir juga, apakah tersalah pilih profesion, tetapi apabila diasak bertalu dengan soalan seperti itu, nyata bukan faktor tersilap profesion tetapi hakikinya, usia sudah memamah diri. Tidak sekuat dulu zaman muda. Cuma sekadar ingin berpesan untuk mereka yang mahu menjadi orang media, teruskan, yang penting semangat.
Semangat untuk semua dan kerana semangat itu opah mengikut anak menantu pulang ke sitawan dengan kereta yang sarat sebabnya nak melawat Cik Nazri. Di belakang, dua dewasa dan tiga kanak-kanak. Lucunya kanak-kanak yang seorang itu saiz remaja, anak bongsu opahlah tu, Amirul, comel tetapi American size.
Cucu-cucu yang kecil, Zikri, Zafri dan Zafran sekejap sekejap dengan emaknya dan sekejap dengan saya dan anak lelaki saya, Alif. Walaupun berhimpit sampai juga kami ke teratak kakak saya yang masih steady, Yong Nor, pkl 7 malam. Seronoknya, Yong sejak dulu terkenal dengan good hostess dan chef. Jadi malam itu kami semua tersandar dan tergolek dengan empat ekor ikan terubuk dan gegerut panggang.
Ida, Aishah, Ann dan Ana, sedapnya cecah ikan dengan sambal air asam dan kicap bercili  dan disaat mengetuk coretan inipun terasa kecur liur. Jadi Sabtu bolehlah ke pasar tani. apa lagi panggang ikan. Saya tetap ke rumah orang kahwin.
Tapi itu bukan penyudahnya, sebab ia diakhiri dengan lagu-lagu Tom Jones,  Cliff Richard, Andy William yang diputarkan oleh abang Hussein. Sempat telefon suami, rugi tak balik kampung hari itu. Alahai nostalgia sungguh. Sebabnya pernah dapat tempat kedua dalam talentime dengan lagu Delilah nyanyian Tom Jones. Eish..tapi masa itu tak cerita dengan Wan, sebab takut.
Esoknya breakfast nasi lemak ikan yang memang sedap dan tengah hari ke rumah encik makan tengah hari dengan ikan bakar sambal kelapa.
Esoknya selepas sarapan, yong bawa tenguk kambing. Teruja. Kalau emak dan bapak ada tentu mereka gembira sebab anak menantunya sepakat. Satu pakatan adik beradik yang sihat. Nanti kalau sudah ada pembantu, yong ringanlah sikit ya. Terima kasih ya yong, terima kasih juga kepada pemegang saham besar dan kecil seperti saya dan semua yang terbabit dengan cara masing-masing. Mudah-mudahan ia akan merapatkan kita semua.
Kala menjengah ke rumah Anem, sempat tenguk Cik Nazri (tok cik), agak kurus tetapi semakin sihat. Cik adalah the best uncle (sebelah bapak) yang  cukup disayangi. Penyayang, mengambil berat dan positif orangnya kekadang suka bergurau juga. Semasa muda, bekas guru ini memang hensem, ramai juga yang jatuh hati. Apapun mudah teringat Cik kerana Cik tidak pernah marah dan kita berasa selesa dengannya. Lega kerana dapat juga balik kampung.
Sebelum makan tengah hari kami ke Lumut. Segala memori menjengah secara tiba-tiba di situ. Teringat aruah bapa dan emak yang suka memasak dan berniaga.
Kenangan menolong emak dan bapa berniaga laksa dan nasi campur di Pesta Laut Lumut. Aha emak ambil juga petugas sambilan termasuk saya. Business bagus tau. Masa inilah perlukan beberapa pasang baju cantik. Baju memang tidak banyak, jadi pinjam baju yonglah jawabnya, cuma kainnya agak senteng, sebab yong kecil molek orangnya. Tapi pakai juga. pada masa itu ramai yang ingat saya sudah 17 tahun atau  lepas SPM sedangkan baru tingkatan 3. He he he, kata orang Perak, belung. Ada jugak yang letak alamat bawah pinggan laksa nak berkenalan. Mana boleh, marah emak dan bapa, ``jangan gatal, belajar..''
Sebenarnya seronok berniaga makan ni, apalagi setiap hari makanan sold out. Sampaikan kuah laksa terpaksa ditambah dengan isi sardin. Agaknya laksa berkuah sardin sedap juga sebab itu habis. Nampaknya sudah semakin meleret. Cuma memang benar Lumut kini semakin cantik tetapi terlebih mekap kot, keaslian Lumut yang damai tidak kelihatan lagi, biarpun langit dan lautnya masih membiru.
Biarpun sebentar di Lumut saya ingin sekali ke Pangkur merasai laksa mi yang enak dan bermandi di sana, bila ya?
Makan tengah hari dengan hidangan encik pulak. Sedap juga panggang cencaru berkelapa dan sambal belacan kuini. Petang itu yong jamu kuih badak dan kuih bom panas. Alahai kalau menetap di Sitiawan agaknya boleh kaya dan bertambah gemuk. Hari itu saya dan keluarga balik ke Kuala Lumpur.  Dalam perjalanan tayar bocor lagi. Tepat pukul 7 malam tayar kereta ditukar baru. Syukur alhamdulilah semuanya selamat.
Waima apapun yang berlaku, saya gembira dapat balik kampung.
Kepada semua bapa diucapkan Selamat Hari Bapa. Apabila dikenang kembali, saya miss aruah bapa, Haji IhsanYassin dan emak.  Bapak sememangnya the best father begitu juga emak. Kari emak memang sedap. Sambal tumis cili serbuk pun sedap bayangkan yang lain, pandai menjahit, memasak dan mengaji.. Bapa juga boleh memasak, (termasuk menyiang ikan),  bagus dalam kraftangan seperti menjahit tudung saji serta menebuk leher baju Melayu yang cantik, melukis, bersukan, berbahas, bermain alat muzik dan menyanyi.
Paling bagus sekali, bapa juga pandai mengaji dan merupakan guru agama bertauliah selepas bersara guru besar.  Seperkara lagi aruah bapa pandai bercerita. Semoga roh insan yang tersayang, bapa, emak dan Gan dicucuri rahmat. Al Fatihah.
Hari semakin larut, mata Opah semakin kelabu, tetapi sesuatu yang menarik untuk dikenang apabila teringat seorang lagi bapa, Anco semasa kecilnya, dia seorang yang berani, lasak dan sukakan ikan. Siapa sahaja menyiang ikan, tidak kira aruah mak itam ke, saya, emak, Anco pasti di sisi. Hari ini Anco pula sudah ada juga orang di sisi, isteri dan anak-anaknya.
Bagi saya teringatkan seorang lagi bapa, suami saya yang ingin menamakan anaknya yang bongsu Nur Misuari, nasib baik tidak jadi.  tetapi  saya lebih sukakan nama ini, AMIRUL AIMAN IHSAN B. ABAS. Dulu dia ingin menamakan anak lelaki pertama kami Abu Hurairah, saya bersetuju dengan menambahkan nama Aliff di depan nama itu. Semoga mereka berdua mempunyai ciri-ciri datuk dan bapa mereka ABAS DALIP. Selamat Hari Bapa dan bertemu lagi di lain waktu. Wassalam.
 

Ahad, Jun 08, 2008

Salam Perkenalan

Salam perkenalan kepada anda yang budiman. Buat pertama kalinya saya mempunyai blog yang diilhamkan oleh kaum kerabat..Kata mereka - buat mengisi masa lapang dan mungkin boleh dijadikan panduan atau apa saja yang berguna untuk anda semua khususnya untuk anak cucu yang semakin dewasa mengharungi hidup. Tidak lupa juga sokongan suami tercinta yang juga sealiran dengan saya iaitu menulis. Saya memang suka menulis- dah menjadi darah daging buat berdekad lamanya. Tapi tidaklah sampai menulis buku. Mana tahu? Mungkin saya berupaya juga.Berkat doa anda juga kan? Memandangkan jadual tugas saya yang ketat mungkin sukar untuk saya menulis blog juga. oleh itu, sekiranya anda merasakan terlampau lama nak menunggu post yang terbaru, sabar je lah ya?